No comments yet

Pelaburan berkualiti jana peluang pekerjaan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan Negeri menekankan pelaburan berkualiti bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya melibatkan sistem berteknologi tinggi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sambutan baik diberikan kepada Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC) sejak ditubukan membantu Kerajaan Negeri menarik pelaburan dalam dan luar negara.

“Kita kena kerja kuat untuk menarik pelaburan ke Selangor bukan sahaja domestik tetapi juga dari luar negara.

“Pelaburan berkualiti mampu membina nilai supaya rakyat di Selangor mendapat pekerjaan berteknologi tinggi, pertukaran maklumat serta kemahiran.

“Hari ini apabila SITEC ditubuhkan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam kalangan pemain E-commerce, kita mendapat sambutan amat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Gala Selangor-ASEAN Business Award 2017 di Hotel Concorde.

Katanya, beliau gembira dengan penyertaan pemain E-commerce dalam Selangor International Business Summit 2017 yang berlangsung selama 10 hari bermula 7 September di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

Menurutnya, konvensyen seperti itu memberikan lebih ruang untuk usahawan mengembangkan rangkaian perniagaan disamping Selangor meletakkan objektif menjadi hub perdagangan global.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut menyampaikan beberapa anugerah penghargaan bagi lima kategori.

Bagi kategori Business Excellence And Innovation Award, ia diberikan kepada tiga buah syarikat iaitu Mega Fortis (Malaysia) Sdn Bhd, Growth Avenue Sdn Bhd dan IQI Holdings Sdn Bhd.

Rotiboy Bakeshoppr Sdn Bhd diwakili Pengarah Operasinya, Ng Chi-Ao menerima anugerah Successful Small And Medium Sized Companies.

Pengarah Eksekutif Fire Fighter Industry Sdn Bhd, Michelle Hah Mei Kian menerima anugerah Successful Women Entreprenuer manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan Kossan Rubber Industries Bhd, Tan Sri Dato’ Lim Lim Kuang Sia menerima anugerah CEO Of The Year.

AAPICO Hitec Public Company Limited yang diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yeap Swee Chuan pula menerima anugerah Successful Asean Company Located In Selangor.

Comments are closed.